BLOG CHAT.. WAJIB HADIR SETIAP JUMAAT JAM 9pm!!

Thursday 6 August 2009

Situasi Semasa Pandemik (H1N1) 2009 Dan Tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia 5 Ogos 2009

Pada 5 Ogos 2009 sejumlah 16 kes baru influenza A(H1N1) dilaporkan dengan 3 kes kematian. Semua kes adalah kes tempatan dan warga negara Malaysia. Daripada 16 kes yang dilaporkan hari ini, 10 merupakan kejadian dari 3 kluster baru dan 6 kes sporadik atau terpencil. Manakala tiga (3) kes kematian yang dilaporkan adalah kes sporadik.

Jumlah terkumpul kes influenza A(H1N1) di Malaysia sehingga 5 Ogos 2009 jam 8.00 pagi adalah sebanyak 1,476 kes dengan jumlah kematian 11 orang. Daripada 1,476 kes yang dilaporkan tersebut, 574 (39%) merupakan kes import dan 902 (61%) kes jangkitan tempatan. Daripada jumlah ini, 1,413 kes (96%) telah sembuh. Bilangan kes jangkitan influenza A(H1N1) yang masih berada di Unit Rawatan Rapi adalah 10 orang. Manakala 28 kes sedang menerima rawatan antiviral di wad isolasi.

Daripada 10 kes yang berada di Unit Rawatan Rapi, 3 daripada mereka mempunyai faktor risiko iaitu obesiti (1), mengandung (1) dan imuniti rendah (1).

Daripada 16 kes yang dilaporkan, dua (2) kes dirawat di wad, 11 orang menerima rawatan pesakit luar dan tiga (3) adalah kematian. Maklumat mengenai kes kematian pada 4 Ogos 2009 seperti berikut:

Kematian ke-sembilan, kes adalah seorang budak perempuan berumur 3 tahun yang mempunyai sejarah jangkitan saluran pernafasan kronik. Kes dimasukkan ke Hospital Melaka pada 31 Julai 2009 dengan gejala demam dan batuk pada 25 Julai 2009. Pesakit disahkan mengidap jangkitan influenza A(H1N1) pada jam 6.19 petang 2 Ogos 2009 dan meninggal dunia pada 3 Ogos 2009 jam 4.30 petang dengan diagnosa jangkitan virus influenza A(H1N1) dengan severe pneumonia. Sebelum dimasukkan ke Hospital Melaka, kes telah mendapatkan rawatan awal di sebuah klinik swasta dan dimasukkan ke hospital swasta pada 30 Julai 2009, sebelum dirujuk ke Hospital Melaka sehari kemudian kerana mengalami jangkitan radang paru-paru teruk (severe pneumonia).

Kematian ke-sepuluh, kes adalah seorang budak lelaki berumur 12 tahun dengan kegagalan buah pinggang kronik dan sedang menjalani rawatan dialisis. Pesakit telah dimasukkan ke Hospital Melaka pada 3 Ogos 2009 dengan simptom demam, batuk dan sesak nafas semenjak 1 Ogos 2009. Pesakit meninggal dunia pada 3 Ogos 2009 jam 2 petang disebabkan jangkitan pneumonia teruk. Kes disahkan mengidap jangkitan influenza A(H1N1) pada 4 Ogos 2009 jam 5.50 petang.

Kematian ke-sebelas, kes adalah seorang lelaki berumur 20 tahun dengan kronik asma telah dimasukkan ke Hospital Melaka pada 2 Ogos 2009 dengan simptom demam, batuk dan sesak nafas semenjak 31 Julai 2009. Beliau terus dimasukkan ke unit rawatan rapi dan disahkan mengalami pneumonia teruk. Pesakit meninggal dunia pada 3 Ogos 2009 jam 2.30 pagi dan disahkan mengidap jangkitan influenza A(H1N1) pada 4 Ogos 2009 jam 5.50 petang.
Merujuk kepada situasi global, sehingga 5 Ogos 2009, sejumlah 193,686 kes dengan 1,361 kematian telah dilaporkan daripada 171 negara. Ia merupakan peningkatan sebanyak 4,531 kes dengan 42 kematian berbanding dengan hari sebelumnya dengan pertambahan tiga (3) negara iaitu Grenada, Kiribati dan Tokelau.

Penularan virus influenza A(H1N1) di dalam komuniti telah semakin meluas. Ia ditunjukkan oleh kehadiran ramai pesakit ke hospital dan klinik untuk mendapatkan rawatan demam dan batuk. Orang ramai dinasihatkan untuk mengambil tindakan-tindakan berikut:

Mereka yang berisiko tinggi (mengandung, obes, asma, diabetes, imuniti rendah, sakit jantung) dan sedang mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan hendaklah SEGERA mendapatkan rawatan di klinik atau hospital yang berdekatan. Rawatan ini sangat berkesan untuk mengubati pesakit dengan jangkitan virus influenza A(H1N1) jika sekiranya rawatan dimulakan dalam tempoh 48 jam selepas bermula gejala. Rawatan tidak memerlukan ujian pengesahan makmal dan bagi klinik kerajaan rawatan adalah percuma.

Selepas mendapat rawatan, pesakit adalah perlu berada di rumah dan mengurangkan pergaulan dengan orang awam termasuk ahli keluarga serta sentiasa mengamalkan kebersihan diri dan etika batuk yang baik. Amalan ini dapat mengurangkan perebakan virus kepada orang lain.

Pesakit-pesakit yang mengalami gejala ringan jangkitan influenza A(H1N1) yang telah dinasihatkan oleh doktor untuk duduk di rumah perlu mematuhi nasihat tersebut kerana amalan ini boleh mencegah perebakan virus influenza ini kepada orang lain. Jika terpaksa pergi ke tempat-tempat awam tersebut, mereka mesti memakai topeng muka atau mask jenis ‘three ply’ yang didapati boleh mencegah penularan virus kepada orang lain.

Pesakit-pesakit yang telah dinasihatkan untuk duduk di rumah semasa rawatan agar sentiasa memantau tahap kesihatan sendiri. Sekiranya gejala bertambah teruk seperti demam yang berterusan, sakit dada, sesak nafas, atau `altered conciousness’ sila segera mendapatkan rawatan di hospital.

Orang ramai yang mengetahui wujudnya kejadian kluster influenza-liked illness (ILI) di sekolah, institusi dan komuniti, sila maklumkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran untuk siasatan dan tindakan kawalan.
Adalah dimaklumkan waktu operasi hotline adalah dari 8.00 pagi hingga 5.30 petang di talian 03-88810200 dan 03-88810300. Bagi mereka yang memerlukan maklumat selepas waktu operasi, dapatkan daripada laman web Kementerian Kesihatan http://www.moh.gov.my dan http://h1n1.moh.gov.my.

Kementerian Kesihatan yakin dengan kerjasama dan penglibatan semua pihak, penularan influenza A(H1N1) di Malaysia dapat dibendung dengan sebaik mungkin untuk kesejahteraan semua.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. HJ. MOHD. ISMAIL BIN MERICAN
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

Tarikh: 5 Ogos 2009

Gambar yang ndak banyak...

Don't try this at home...

Osmund & Ellesia wedding ceremony..

2007 BLASTER....

2008 BLASTER...